INILAH ASASNYA…

Firman Allah Taala dalam Surah ali-Imran ayat 110. Sekira-kira maksudnya,

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan bagi manusia, kamu menyuruh kepada makruf, mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah Taala.”

Sama ada kita sedar ataupun tidak, semenjak dari penciptaan Nabi Adam a.s. hinggalah manusia yang terakhir yang dilahirkan di atas muka bumi ini, Allah Taala telah mengaturkan dan menetapkan bahawa ada satu umat yang terbaik yang dilahirkan bagi seluruh umat manusia. Umat yang dimaksudkan itu adalah umat Islam.

Begitu sekali Allah telah mengangkat darjat seorang manusia Muslim, iaitu manusia yang mentauhidkan Allah, dan membenarkan ke-Esaan Nya. Bayangkan, dalam segala penciptaan Allah itu, yang paling istimewa dan yang paling mulia adalah manusia. Dan dalam kalangan manusia yang istimewa itu, yang paling baik adalah golongan Muslim.  

Pun begitu, masih ramai dalam kalangan manusia Muslim ini seperti tidak sedar tentang kedudukan diri mereka yang begitu diangkat di sisi Allah, Pencipta segala alam jagat ini. Oleh kerana kelalaian dan rasa tidak peka tentang hakikat itu, mereka telah tersimpang jauh dari laluan yang melorongkan mereka kepada Allah.

Secara peribadinya, saya berpendapat bahawa masalah ini berpunca daripada kegagalan mereka untuk memahami erti sebenar ‘Muslim’. Dan lebih teruk dari itu, mereka bukan sahaja gagal untuk memahami erti sebenar Muslim, malah ada segelintirnya yang langsung tidak mahu mendalami ilmu agama dan malas untuk menyibukkan diri dengan ilmu dan urusan agama Islam.

Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Begitu juga dengan agama Islam. Rasa cinta, sayang dan bertanggungjawab untuk melaksanakan syariat Islam tidak akan dapat diwujudkan jika kita tidak mengenalinya secara dasar terlebih dahulu.

Suka saya untuk memetik takrifan Islam daripada Kitab Asas-Asas Islam karangan almarhum Syeikh Abul A’la al-Maududi. Beliau menjelaskan secara ringkas, maksud kalimah Islam itu adalah “Tunduk dan patuh kepada perintah Maha Pemerintah dan larangan-Nya tanpa bantahan.”

Jelas di sini, bahawa di atas sana ada Allah Taala yang mengatur dan mengawal selia setiap tingkah dan laku makhluk-Nya. Allah Taala Yang Maha Besar dan Maha Berkuasa. Secara adat dan logiknya, kita ini sebagai seorang makhluk dan hamba, haruslah tunduk kepada setiap perintah dan larangan yang telah ditetapkan oleh-Nya ke atas diri kita, sama ada secara sukarela atau terpaksa. Firman Allah Taala dalam surah ali-Imran ayat 83. Sekira-kira maksudnya,

“Adakah mereka mahu yang selain dari agama Allah, padahal apa-apa yang ada pada langit dan bumi telah menyerah diri (tunduk) kepada-Nya dengan suka dan dengan paksa, dan kepada-Nyalah mereka akan dikembalikan.”

Seandainya kita dapat memahami, menghayati dan mempraktikkan erti kata sebenar Islam itu, maka di atas bumi ini akan wujud satu umat yang terbaik dan menjadi ikutan serta tauladan kepada seluruh umat manusia. Ini bukan omongan kosong. Saya yakin, sebahagian besar umat manusia di dunia ini mengakui tentang kehebatan dan keterampilan yang telah dipamerkan oleh sosok-sosok agung yang terdapat di sepanjang perjalanan dari bermulanya dakwah Islam hingga ke hari ini.

“Saya terpaksa mengakui bahawa agama Muhammad adalah lebih sesuai bagi dunia dan keseluruhannya… Pencapaian yang dicapai melalui ajaran agamanya nampaknya mengatasi ajaran-ajaran lain. Bukti-bukti yang boleh disebutkan adalah pantang larang yang diajar oleh agama, roh kemesraan, pengharaman riba dan pengiktirafan rasul-rasul yang lain daripada (Muhammad). Muhammad sendiri tidak berlagak seperti Tuhan, malah beliau sendiri mengawal tingkah lakunya.”

                                                                                      -Lancelot Lawton-

Kemuliaan dan nilai-nilai kebaikan yang terdapat dalam ajaran Islam diakui sendiri oleh orang bukan Islam. Dan pastinya, kemuliaan dan kemurniaan Islam itu akan terserlah pada pandangan seluruh masyarakat dunia jika umat Islam itu ‘Tunduk dan patuh kepada perintah Maha Pemerintah dan larangan-Nya tanpa bantahan.’ Inilah asasnya….

Wallahua’lam….

RENUNGKAN SEJENAK…

Manusia lebih cenderung untuk memiliki sesuatu yang mereka ingini, tetapi jarang sekali mensyukuri apa yang mereka miliki…

Jadi bertanyalah pada diri dan hati, adakah anda benar-benar sudah menjadi seorang hamba yang bersyukur dan menerima pemberian dari Allah seadanya…?

Semoga kita beroleh keredhaan dari Allah Taala…

Wallahua’lam…

TAFAKKUR KEHIDUPAN

Dunia yang sementara ini adalah sebuah ladang yang perlu diusahakan sebaik mungkin oleh manusia. Mereka perlu taat dan tunduk patuh kepada setiap perintah dari Allah Taala, dan meninggalkan serta berusaha untuk membenci sesuatu yang tidak disukai dan dilarang oleh Allah. Mereka yang sujud dan patuh, bagi mereka kejayaan yang kekal, sedangkan bagi mereka yang melekehkan suruhan Allah, mereka akan mendapat azab yang berat dan tidak tertanggung oleh mereka pada Hari Kebangkitan itu.

“Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu. Sesungguhnya gempa hari kiamat itu merupakan sesuatu yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat dan mengerikan.”
(Surah al-Hajj : ayat 1-2)

Jadi bertanyalah kepada diri kita, adakah dunia yang bersifat sementara dan menipu ini yang menjadi matlamat kita…? Kalau begitu, di mana letaknya kedudukan Allah dalam kehidupan kita…? Hidayah itu adalah cahaya. Ia adalah sebuah kurniaan yang sangat besar untuk manusia. Semoga Allah mengurniakan hidayah kepada kita agar kita sedar dan yakin bahawa kita akan mati, kita akan dibangkitkan dan kita akan berada dalam mahkamah pengadilan yang paling menggerunkan, mahkamah Allah Taala.. .

Wallahualam…….

HIDUP ITU PADA HATI

Sebuah kehidupan… Secara kasarnya, manusia itu dilihat sebagai satu makhluk yang menjalani kehidupan di atas dunia ini bersama-sama dengan makhluk yang lain, seperti haiwan -haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Itu adalah apa yang kita nampak daripada sudut pandangan mata yang zahir. Pun begitu, hakikatnya kehidupan seorang manusia terletak pada hatinya.

Jika hati kita hidup dan disirami dengan air-air yang diceduk dari telaga TAQWA, ia akan tetap terus bertunas, tumbuh dan mekar walaupun jasad kita sudah mati.

Tapi jika kita menjalani kehidupan ini dengan seketul hati yang mati, kita tidak ubah seperti robot. Kita akan hidup dengan aktiviti-aktiviti harian yang telah disetkan dalam minda tanpa ada sedikit pun keterkaitan dengan Allah Taala. Jadi, apakah maknanya sebuah kehidupan ini jika ia ditelusuri dengan jiwa yang mati dan kosong?

Firman Allah Taala dalam surah al-An’am ayat 122, sekira-kira maksudnya :

“Dan apakah orang yang sudah mati hatinya kemudian kami hidupkan dan kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang-orang yang keadaannya berada dalam keadaan yang gelap gelita yang sekali-kali tidak dapat keluar daripadanya?”

Moga kita diberi hikmah dan hidayah oleh Allah Taala…..

Wallahu’alam…

KOTA DUA MENARA

Kota ini sibuk pada siangnya, dan hidup pada waktu malamnya. Inilah Kota Dua Menara. Ia menampung berbagai-bagai jenis jiwa. Sama ada jiwa yang tenang atau jiwa yang penuh gusar. Kota ini adalah kota yang luas. Ada kenderaan yang lalu lalang memenuhi jalan, ada pengangkutan awam yang bergerak melintasi di atas kepala, dan ada pejalan-pejalan kaki yang bergegas untuk ke tempat yang dituju. Bangunan-bangunan di sini dibina tinggi-tinggi. Dan yang paling tinggi tentulah dua buah menara yang tercancang kemas di tengah-tengah kota. Dua menara ini menjadi mercu tanda kemajuan pembangunan dan menjadi tumpuan orang ramai.

Di dalam Kota Dua Menara ini, ada ramai orang. Bila orangnya ramai, maka banyaklah jiwa yang mendiami kota ini. Setiap satu jiwa, ada latar hidup yang berbeza. Kerana perbezaan inilah wujudnya ruang yang memisahkan mereka.

Kota Dua Menara ini telah memberikan didikan secara tidak langsung kepada diri saya. Ia mendidik saya agar meringankan mulut untuk menyapa dan mengukir senyuman. Menyapa orang ramai itu, dan memberikan senyuman kepada mereka akan membuatkan kita mengerti maksud sebuah kehidupan bermasyarakat. Selain itu ia akan mengurangkan jurang yang wujud kerana berbezanya latar kehidupan.

Kota Dua Menara ini juga mengajar saya agar bijak memilih antara dua perkara. Memilih untuk seiring melangkah dengan iman atau memilih untuk ditunggangi oleh nafsu. Kota ini tidak dapat memberikan pembangunan rohani yang baik, walaupun ia sebuah kota yang pesat membangun dari sudut jasmaninya. Di dalam kota ini terlalu penuh dengan benda-benda yang memberi nyawa kepada nafsu untuk terus bernafas. Kalau tidak bijak untuk memilih, boleh jadi kita akan terus dikudai oleh nafsu dan meninggalkan iman di belakang tanpa ada teman untuk bersama-sama meneruskan langkah.

Kota Dua Menara, ia hanya akan menjadi pendidik bagi mereka yang memandang dunia dengan mata hati………

SERANGAN PEMIKIRAN

“Sesungguhnya oleh kerana Barat telah berjaya menakluki lautan, maka sebelum akhir abad ke 16 Masihi, Barat telah berhasil melemparkan jerat ke leher Islam; tetapi hanya selepas sbad ke 19 Masihi sahajalah baru Barat memberanikan diri untuk menarik jerat tersebut dengan kuatnya.”

Arnold J. Tonybee; Dunia Dengan Barat, (terjemahan Ahamad Boestamam) Kuala Lumpur, 1961, halaman 24

Pertembungan di antara Dunia Islam dan Dunia Barat pada pengakhiran abad ke 11 Masihi dalam Perang Salib telah meninggalkan kesan yang besar dalam perhubungan kedua-dua belah pihak. Rentetan daripada peristiwa Perang Salib ini, Dunia Barat melancarkan kerja-kerja penjajahan ke atas Dunia Islam bermula pada abad ke 16 Masihi sehingga abad ke 19 Masihi.

Sebelum berakhirnya abad ke 19 Masihi, Barat telah membahagi-bahagikan Dunia Islam. Ini dapat kita lihat, pada Tahun 1857M, Inggeris telah mengambil sepenuhnya kuasa politik di India daripada Syarikat Hindia Timur. Dengan ini menandakan telah berakhirnya Kerajaan Moghul, kerajaan Islam yang besar yang lahir pada abad ke 16 Masihi. Pada tahun yang sama juga, Perancis telah menguasai Algeria dan Sahara. Sementara itu, kepulauan Indonesia pula telah dikuasai oleh Belanda seawal abad ke 16 Masihi lagi.

Pada pertengahan abad ke 20 Masihi, barulah negara-negara Islam dapat membebaskan diri dari belenggu penjajahan Barat. Walaubagaimanapun, Barat telah berjaya menjajah pemikiran orang-orang Islam sebelum mereka melangkah keluar dari negara Islam.

Terdapat satu fakta yang perlu disampaikan bahawa ‘penjajahan politik Barat ke atas Dunia Islam sebenarnya tidak terpisah daripada gerakan pengkristianan, malah pengkristianan adalah tujuan utama penjajahan itu sendiri.’ Gerakan pengkristianan telah dilancarkan secara besar-besaran di setiap negara yang dijajah oleh Barat. Melalui pemerhatian dan kajian, Barat berpendapat bahawa pendidikan adalah medium terbaik untuk menjayakan gerakan pengkristianan ini.

“Pendidikan dan pengajaran sangggup membebaskan kaum Muslimin dari agamanya.” Snouck Hurgronje.

Sehingga sekarang pun masih terdapat pusat-pusat pengajian tinggi kepunyaan Barat di negara Islam. Contohnya Jesut University dan American University (sebelum tahun 1920M, ia dikenali dengan nama Syrian Protestant College) di Lubnan, Robert’s College di Konstantinople dan lain-lain lagi.

Boleh dikatakan bahawa gerakan pengkristianan pada ketika itu tidak mencapai matlamatnya. Pun begitu. Mereka telah berjaya merubah dan menyelewengkan sikap dan pemikiran sesetengah orang Islam melalui pendidikan. Gerakan yang boleh disifatkan sebagai ‘Intellectual and Cultural Assassination’ ini telah menyebabkan golongan terpelajar Muslimin terpesona dengan idea-idea bawaan Barat dan membuatkan mereka terpisah daripada landasan hidup Islam yang sebenarnya.

Gerakan Intellectual and Cultural Assassination ini juga bersifat serangan dari dalam atau ‘al-Ghazwu’l Fikry’ (serangan pemikiran). Serangan ini tidak ubah seperti memasukkan racun ke dalam pembuluh darah jasad Muslimin. Ia akan mengakibatkan kerosakan dari dalam dan menjadikan tubuh orang-orang Islam itu gagal berfungsi mengikut ketetapan dari Allah. Jadi akan wujudlah sebatang tubuh yang luarannya seperti Muslim, tetapi di dalamnya penuh dengan racun. Tubuh ini langsung tidak mendatangkan faedah kepada Islam, malah mendatangkan musibah pula.

Oleh itu, sebagai Muslim dan lebih-lebih lagi sebagai pembawa syiar Islam, kita perlu berwaspada dengan serangan halus yang dilancarkan oleh Barat dan musuh-musuh Islam yang lain. Kita perlu berusaha untuk menyelamatkan seramai mungkin golongan Muslim yang ada dan membentuk sebuah gerakan bagi menentang aliran pemikiran Barat dan sekutunya seterusnya menegakkan sendi-sendi Islam yang indah di atas dunia ini..

Wallahu a’lam.

Al-Fatihah untuk as-Syahid Imam Hassan al-Banna, as-Syahid Syed Qutb, as-Syahid Sayyid Abul A’la Maududi, as-Syahid Syed Badiuzzaman an-Nursi, almarhum Ustaz Fathi Yakan, almarhum Ustaz Mustafa Masyur, almarhum Ustaz Fadzil Nor dan semua penggerak Gerakan Islam di seluruh dunia.

25 Zulhijjah 1430 Hijrah
12 Disember 2009 Masihi

MULANYA SEBUAH LAGI JIHAD

Sehari sebelum melangkah masuk ke tahun baru, saya sekeluarga telah ke Kuala Lumpur atas urusan pendaftaran kemasukan saya ke Kolej Teknologi Makmal Perubatan yang terletak di dalam kawasan Institut Penyilidikan Perubatan (IMR) Kuala Lumpur. Saya mulakan jihad ilmu yang baru di awal tahun baru Masihi dan di pertengahan tahun baru Hijrah.

Sedikit canggung kerana baru pertama kali memulakan sesi pembelajaran di luar kawasan negeri Johor. Tapi tak mengapa, mula-mula canggung, lama-lama nanti fahamlah bagaimana corak hidup di kota yang menyimpan pelbagai jenis latar manusia ini.

Memang begitulah jihad. Awalnya susah, tapi akhirnya manis dan indah.

Mohon doa dari sahabat-sahabat agar saya merasakan Allah sentiasa bersama dalam duduk, berdiri, diam atau berjalannya saya.

Kalau hendak berjihad, rasa bersama Allah itu perlu. Bila hati merasa adanya Allah, rasa kecewa pun akan pergi menjauh. Mana ada jiwa yang kecewa jika jiwa itu terisi dengan Allah.

Wallahua’lam…….