“Akhlak yang baik dapat menghapuskan kesalahan, bagaikan air yang menghancurkan tanah yag keras. Dan akhlak yang jahat merosak amal, seperti cuka merosak manisnya madu.”
(Hadis riwayat Baihaqi)
Julai 2, 2011
“Akhlak yang baik dapat menghapuskan kesalahan, bagaikan air yang menghancurkan tanah yag keras. Dan akhlak yang jahat merosak amal, seperti cuka merosak manisnya madu.”
(Hadis riwayat Baihaqi)
Jun 24, 2011
(Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi)
Ogos 21, 2010
Buatlah apa sahaja sekalipun, kita tetap akan terkepung di dalam nikmat ALLAH TAALA. Bangun dari tidur, kita sudah mula menggunakan mata. Lalu kita menggunakan tangan dan lidah untuk menadah dan berdoa ke hadrat ALLAH. Dan kita pun lekas-lekas berjalan dengan nikmat sepasang kaki yang ALLAH beri ni untuk menuju ke bilik air bagi menyucikan diri. Babak bangun dari tidur sahaja kita dah gunakan banyak nikmat yang ALLAH kurniakan. Belum lagi dihitung nikmat-nikmat-Nya yang kita gunakan sejak dari kita berada dalam kantung ibu hingga sekarang, dan akan datang. Dan nikmat yang paling besar bagi seorang manusia tentunya nikmat Islam dan nikmat Iman. Masya ALLAH…… Tak akan ada seorang manusia pun yang mampu mencongak dan menghitung keseluruhan kurniaan ALLAH kepada kita.
Tapi manusia ini ramai yang kufur nikmat…..
“Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat ALLAH, nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.”
Surah Ibrahim: ayat 34
Kenapa jadi begitu yer….?
Banyak jawapan yang boleh kita berikan untuk menjawab soalan di atas. Apa yang perlu kita buat sekarang adalah banyakkan bermuhasabah. Kehidupan ini sebentar sahaja. Siapa yang tahu waktu bila Malaikat Izrael datang untuk mengambil nyawa kita…? Hanya ALLAH sahaja yang tahu. Jadi, sebelum nyawa berpisah dari badan amatlah elok kalau kita bersiap sedia untuk mati. Mati itu pasti. Kan lebih baik kita mengutamakan sesuatu yang pasti daripada sesuatu yang bersifat hina, dekat dan sementara (dunia).
Dan satu lagi….
Kena banyakkan senyuman. Tapi biarlah senyuman itu kena pada tempatnya. Senyum ini, selain merupakan salah satu dari sunnah Rasulullah s.a.w, ia juga merupakan terapi dan motivasi yang sangat berkesan. Tidak ada manusia yang tak ada masalah. Rasanya semua yang membaca blog ini mesti bersetuju dengan saya. Jadi antara salah satu kaedah yang paling mudah untuk menghambat pergi masalah itu adalah dengan mengukirkan sekuntum senyuman. Lagi bagus kalau kita dapat senyum depan cermin sambil berfikir, “SUBHANALLAH, besar sungguh nikmat senyuman yang Engkau berikan kepada aku ya ALLAH. Walaupun senyuman ini adalah satu gerak bibir yang ringkas sambil menampakkan sebaris gigi, namun ia memberikan kesan yang sangat mendalam bagi diriku. Segala puji bagimu ya ALLAH.”…=)
Hurm… Bila difikir-fikirkan balik, senyuman itu pun salah satu dari berbillion-billion nikmat yang ALLAH kurniakan kepada kita. Sangat besar kasih sayang ALLAH pada kita. Tapi, adakah kasih sayang kita pada ALLAH itu dah cukup besar dan agung…? Susah nak jawab soalan ini. Hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui sebesar dan seagung mana cinta serta kasih sayang kita pada-Nya.
Menjadi tanggungjawab kita untuk berusaha mendekatkan diri kepada ALLAH. Dia kan sumber ketenangan kepada kita. Kalau kita gunakan akal yang sihat, mana ada orang yang nak menjauhkan diri dari sumber kedamaian dan ketenangan. Betul tak…? Untuk mendekatkan diri kepada ALLAH itu, ada banyak jalannya. Contohnya dengan Solat, Berpuasa, Zikrullah, Berfikir tentang kejadian alam, Ingat kepada hari kebangkitan, Zikrul maut dan banyak lagi.
Nampak tak…? Dengan berfikir tentang nikmat ALLAH, ia akan mendorong kita untuk ingat dan selalu berzikir kepada-Nya lantas membuatkan hati kita lapang dan tenang. Hinggakan sampai pada satu peringkat, seseorang itu bersedia untuk meninggalkan segala kenikmatan dunia dan mengecapi nikmat yang paling akbar di akhirat kelak iaitu melihat wajah ALLAH… Subhanallah, Walhamdulillah, Wa la ilaaha ilallah, Allahuakbar…..!
Semoga kita semua mendapat bimbingan dan naungan rahmat dari ALLAH TAALA… Aminnn….=)
Julai 2, 2010
“Kefahaman adalah jalan yang melorongkan manusia agar mereka sampai ke destinasi yang sebenarnya. “
Jun 25, 2010
Sepanjang cuti semester yang berlangsung sekarang ni, saya lebih banyak menghabiskan masa di rumah. Dalam senggang waktu yang ada ini, saya isi dengan menelaah buku-buku yang masih ada sisa pembacan yang belum tamat.
Antaranya novel drama Bila Tuhan Berbicara karya saudara Faisal Tehrani.
Setakat pembacaan saya, Bila Tuhan Berbicara sarat dengan perbincangan mengenai realiti kehidupan masyarakat mutakhir ini – masyarakat yang sedang menghampiri kiamat. Penceritaannya disulam kemas dengan nilai-nilai agama, fakta sains dan ketinggian falsafah. Sesekali diselitkan babak lucu yang pastinya dapat membuatkan pembaca tersenyum seorang diri ketika megulatinya.
Saya ingin berkongsi dengan anda satu petikan yang saya kira ia adalah petikan segar dan dapat membuka minda :
RAZLAN
“Kau tahu alam itu ialah dari akar kata ayn lam mim. Hah! akar kata yang sama juga menerbitkan perkataan alamat. Alamat itu tanda, petunjuk, anugerah, indikasi, satu karektor… satu alamat untuk posmen hantarkan surat-surat kita. Satu arah tujuan, penunjuk jalan. Ini bermakna alam ini adalah alamat untuk sesuatu, alamat untuk menunjukkan Penciptanya iaitu Allah Ta’ala.
Alam dunia kita ini berfungsi sebagai ayat Allah, menunjukkan destinasi menuju Tuhan. Lebih dekat seseorang dengan alam lebih dekatlah dia dengan Tuhan. Jadi bila kita nak ke suatu tempat, alamat itu hanyalah panduan, menunjuk arah, tak lebih dari itu. Macam satu papan tanda untuk menunjukkan simpang mana yang harus kita ambil. Kebetulan papan tanda itu diukir cantik, dihias dengan air pancuran dan sebagainya, kita pun kadang-kala jadi leka dan sibuk melihat kecantikan pada papan tanda yang dibuat manusia tadi sampai lambat tiba di destinasi. Begitulah ramai orang terpesona dengan alamat, dengan alam, dengan dunia ini sehingga terlupa terus ada destinasi yang harus dituju. Malah ada yang menafikan terus kewujudan destinasi akhir itu.
Untuk merenung alam ini, mestilah dilakukan dengan akal yang sihat, orang sakit dan kacau akal tak boleh berfikir, tak boleh berfalsafah. Mereka tak faham tanda-tanda atau alamat yang diberi oleh Tuhan.”
Itu antara yang dapat saya kongsikan. Moga kita lebih sedar tentang hakikat kewujudan kita dan alam di sekeliling.
Wallahu’alam…..
Jun 14, 2010
Firman Allah Taala dalam Surah ali-Imran ayat 110. Sekira-kira maksudnya,
“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan bagi manusia, kamu menyuruh kepada makruf, mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah Taala.”
Sama ada kita sedar ataupun tidak, semenjak dari penciptaan Nabi Adam a.s. hinggalah manusia yang terakhir yang dilahirkan di atas muka bumi ini, Allah Taala telah mengaturkan dan menetapkan bahawa ada satu umat yang terbaik yang dilahirkan bagi seluruh umat manusia. Umat yang dimaksudkan itu adalah umat Islam.
Begitu sekali Allah telah mengangkat darjat seorang manusia Muslim, iaitu manusia yang mentauhidkan Allah, dan membenarkan ke-Esaan Nya. Bayangkan, dalam segala penciptaan Allah itu, yang paling istimewa dan yang paling mulia adalah manusia. Dan dalam kalangan manusia yang istimewa itu, yang paling baik adalah golongan Muslim.
Pun begitu, masih ramai dalam kalangan manusia Muslim ini seperti tidak sedar tentang kedudukan diri mereka yang begitu diangkat di sisi Allah, Pencipta segala alam jagat ini. Oleh kerana kelalaian dan rasa tidak peka tentang hakikat itu, mereka telah tersimpang jauh dari laluan yang melorongkan mereka kepada Allah.
Secara peribadinya, saya berpendapat bahawa masalah ini berpunca daripada kegagalan mereka untuk memahami erti sebenar ‘Muslim’. Dan lebih teruk dari itu, mereka bukan sahaja gagal untuk memahami erti sebenar Muslim, malah ada segelintirnya yang langsung tidak mahu mendalami ilmu agama dan malas untuk menyibukkan diri dengan ilmu dan urusan agama Islam.
Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Begitu juga dengan agama Islam. Rasa cinta, sayang dan bertanggungjawab untuk melaksanakan syariat Islam tidak akan dapat diwujudkan jika kita tidak mengenalinya secara dasar terlebih dahulu.
Suka saya untuk memetik takrifan Islam daripada Kitab Asas-Asas Islam karangan almarhum Syeikh Abul A’la al-Maududi. Beliau menjelaskan secara ringkas, maksud kalimah Islam itu adalah “Tunduk dan patuh kepada perintah Maha Pemerintah dan larangan-Nya tanpa bantahan.”
Jelas di sini, bahawa di atas sana ada Allah Taala yang mengatur dan mengawal selia setiap tingkah dan laku makhluk-Nya. Allah Taala Yang Maha Besar dan Maha Berkuasa. Secara adat dan logiknya, kita ini sebagai seorang makhluk dan hamba, haruslah tunduk kepada setiap perintah dan larangan yang telah ditetapkan oleh-Nya ke atas diri kita, sama ada secara sukarela atau terpaksa. Firman Allah Taala dalam surah ali-Imran ayat 83. Sekira-kira maksudnya,
“Adakah mereka mahu yang selain dari agama Allah, padahal apa-apa yang ada pada langit dan bumi telah menyerah diri (tunduk) kepada-Nya dengan suka dan dengan paksa, dan kepada-Nyalah mereka akan dikembalikan.”
Seandainya kita dapat memahami, menghayati dan mempraktikkan erti kata sebenar Islam itu, maka di atas bumi ini akan wujud satu umat yang terbaik dan menjadi ikutan serta tauladan kepada seluruh umat manusia. Ini bukan omongan kosong. Saya yakin, sebahagian besar umat manusia di dunia ini mengakui tentang kehebatan dan keterampilan yang telah dipamerkan oleh sosok-sosok agung yang terdapat di sepanjang perjalanan dari bermulanya dakwah Islam hingga ke hari ini.
“Saya terpaksa mengakui bahawa agama Muhammad adalah lebih sesuai bagi dunia dan keseluruhannya… Pencapaian yang dicapai melalui ajaran agamanya nampaknya mengatasi ajaran-ajaran lain. Bukti-bukti yang boleh disebutkan adalah pantang larang yang diajar oleh agama, roh kemesraan, pengharaman riba dan pengiktirafan rasul-rasul yang lain daripada (Muhammad). Muhammad sendiri tidak berlagak seperti Tuhan, malah beliau sendiri mengawal tingkah lakunya.”
-Lancelot Lawton-
Kemuliaan dan nilai-nilai kebaikan yang terdapat dalam ajaran Islam diakui sendiri oleh orang bukan Islam. Dan pastinya, kemuliaan dan kemurniaan Islam itu akan terserlah pada pandangan seluruh masyarakat dunia jika umat Islam itu ‘Tunduk dan patuh kepada perintah Maha Pemerintah dan larangan-Nya tanpa bantahan.’ Inilah asasnya….
Wallahua’lam….
Mei 11, 2010
Manusia lebih cenderung untuk memiliki sesuatu yang mereka ingini, tetapi jarang sekali mensyukuri apa yang mereka miliki…
Jadi bertanyalah pada diri dan hati, adakah anda benar-benar sudah menjadi seorang hamba yang bersyukur dan menerima pemberian dari Allah seadanya…?
Semoga kita beroleh keredhaan dari Allah Taala…
Wallahua’lam…
Mei 1, 2010
Dunia yang sementara ini adalah sebuah ladang yang perlu diusahakan sebaik mungkin oleh manusia. Mereka perlu taat dan tunduk patuh kepada setiap perintah dari Allah Taala, dan meninggalkan serta berusaha untuk membenci sesuatu yang tidak disukai dan dilarang oleh Allah. Mereka yang sujud dan patuh, bagi mereka kejayaan yang kekal, sedangkan bagi mereka yang melekehkan suruhan Allah, mereka akan mendapat azab yang berat dan tidak tertanggung oleh mereka pada Hari Kebangkitan itu.
“Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu. Sesungguhnya gempa hari kiamat itu merupakan sesuatu yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat dan mengerikan.”
(Surah al-Hajj : ayat 1-2)
Jadi bertanyalah kepada diri kita, adakah dunia yang bersifat sementara dan menipu ini yang menjadi matlamat kita…? Kalau begitu, di mana letaknya kedudukan Allah dalam kehidupan kita…? Hidayah itu adalah cahaya. Ia adalah sebuah kurniaan yang sangat besar untuk manusia. Semoga Allah mengurniakan hidayah kepada kita agar kita sedar dan yakin bahawa kita akan mati, kita akan dibangkitkan dan kita akan berada dalam mahkamah pengadilan yang paling menggerunkan, mahkamah Allah Taala.. .
Wallahualam…….
Mac 31, 2010
Sebuah kehidupan… Secara kasarnya, manusia itu dilihat sebagai satu makhluk yang menjalani kehidupan di atas dunia ini bersama-sama dengan makhluk yang lain, seperti haiwan -haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Itu adalah apa yang kita nampak daripada sudut pandangan mata yang zahir. Pun begitu, hakikatnya kehidupan seorang manusia terletak pada hatinya.
Jika hati kita hidup dan disirami dengan air-air yang diceduk dari telaga TAQWA, ia akan tetap terus bertunas, tumbuh dan mekar walaupun jasad kita sudah mati.
Tapi jika kita menjalani kehidupan ini dengan seketul hati yang mati, kita tidak ubah seperti robot. Kita akan hidup dengan aktiviti-aktiviti harian yang telah disetkan dalam minda tanpa ada sedikit pun keterkaitan dengan Allah Taala. Jadi, apakah maknanya sebuah kehidupan ini jika ia ditelusuri dengan jiwa yang mati dan kosong?
Firman Allah Taala dalam surah al-An’am ayat 122, sekira-kira maksudnya :
“Dan apakah orang yang sudah mati hatinya kemudian kami hidupkan dan kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang-orang yang keadaannya berada dalam keadaan yang gelap gelita yang sekali-kali tidak dapat keluar daripadanya?”
Moga kita diberi hikmah dan hidayah oleh Allah Taala…..
Wallahu’alam…
Januari 31, 2010
Kota ini sibuk pada siangnya, dan hidup pada waktu malamnya. Inilah Kota Dua Menara. Ia menampung berbagai-bagai jenis jiwa. Sama ada jiwa yang tenang atau jiwa yang penuh gusar. Kota ini adalah kota yang luas. Ada kenderaan yang lalu lalang memenuhi jalan, ada pengangkutan awam yang bergerak melintasi di atas kepala, dan ada pejalan-pejalan kaki yang bergegas untuk ke tempat yang dituju. Bangunan-bangunan di sini dibina tinggi-tinggi. Dan yang paling tinggi tentulah dua buah menara yang tercancang kemas di tengah-tengah kota. Dua menara ini menjadi mercu tanda kemajuan pembangunan dan menjadi tumpuan orang ramai.
Di dalam Kota Dua Menara ini, ada ramai orang. Bila orangnya ramai, maka banyaklah jiwa yang mendiami kota ini. Setiap satu jiwa, ada latar hidup yang berbeza. Kerana perbezaan inilah wujudnya ruang yang memisahkan mereka.
Kota Dua Menara ini telah memberikan didikan secara tidak langsung kepada diri saya. Ia mendidik saya agar meringankan mulut untuk menyapa dan mengukir senyuman. Menyapa orang ramai itu, dan memberikan senyuman kepada mereka akan membuatkan kita mengerti maksud sebuah kehidupan bermasyarakat. Selain itu ia akan mengurangkan jurang yang wujud kerana berbezanya latar kehidupan.
Kota Dua Menara ini juga mengajar saya agar bijak memilih antara dua perkara. Memilih untuk seiring melangkah dengan iman atau memilih untuk ditunggangi oleh nafsu. Kota ini tidak dapat memberikan pembangunan rohani yang baik, walaupun ia sebuah kota yang pesat membangun dari sudut jasmaninya. Di dalam kota ini terlalu penuh dengan benda-benda yang memberi nyawa kepada nafsu untuk terus bernafas. Kalau tidak bijak untuk memilih, boleh jadi kita akan terus dikudai oleh nafsu dan meninggalkan iman di belakang tanpa ada teman untuk bersama-sama meneruskan langkah.
Kota Dua Menara, ia hanya akan menjadi pendidik bagi mereka yang memandang dunia dengan mata hati………